" Sekiranya pada hari esok, sebermulanya perjuangan terakhir di alam persekolahan ini, semestinya saya harus, mesti dan perlu untuk menghadapinya tidak kira samada saya telah bersedia atau tidak."
...
Pernahkah anda merasai kopi yang pahit tetapi terasa manisnya?
Ah! Manisnya pahit.
Teringat pula pada kenangan semasa di alam persekolahan tadika. Keengganan untuk ke sekolah menjadi intipati kehidupan bagi kanak-kanak di usia sebegitu. Kata-kata keramat dari ibu, "Pergi ke sekolah! Jangan malas. Kalau pergi ke sekolah, nanti jadi pandai."
Kebenaranya terbukti. Pahitnya kerana kita telah memasuki alam persekolahan, manisnya menerusi alam persekolahan kita mengenal erti kehidupan.
Kerana manisnya pahit.
Taktala diri melangkah ke alam Darjah 6, pertempuran pertama dalam hidup mulai dikenali. UPSR. Cikgu-cikgu tercinta kerap kali memberikan latih tubi yang berterusan. Tanpa mengira betapa penatnya diri ini kerana diasak ke tahap luar dari kebiasaan.
Pahitnya, diri kerdil yang tidak memiliki kudrat yang utuh sering menerima tekanan dari aspek ayng tidak diduga. Manisnya, penat dibalas dengan kejayaan indah.
Manisnya pahit itu...
Tidak pernah diduga dalam hidup ini, untuk menerima pemergian kawan terbaik dalam hidup. Sewaktu kehadirannya disisi, alahai, mengapa dirinya tidak dihargai? Terasa hidup ini terlalu kosong dan tiada sesiapa yang mampu mengisi ruangnya. Walaupun begitu, pemergiannya telah mengajar diri ini untuk lebih matang dalam merasai salah satu daripada rencah dalam kehidupan ini. Kerana itulah, manisnya pahit.
Walaupun pahit, ia tetap manis.
Pernah juga diri ini menghadapi satu tamparan hebat. Diri ini telah menerima balasan akibat malas belajar sewaktu di awal persekolahan pada peringkat menengah. Turun kelas. Pasrah dan akur dengan takdir, aku membisikan tentang hakikat. Semua ini ada hikmahnya. Semestinya! Dengan iltizam yang baru, menggenggam azam yang marak, aku ingin membuktikan pada guru-guruku bahawa mereka sudah melakukan kesilapan yang besar. Aku telah memurnikan azam tersebut dan hasilnya pada luar jangkaan aku. Aku mendapat tempat ketiga dalam kedudukan seluruh tingkatan semasa peperiksaan akhir tahun. Aku berjaya mengalahkan pelajar kelas pertama. Alhamdulillah!
Manisnya pahit.
Diri ini pernah hampir-hampir beputus asa dalam membuat percaturan terakhir, pada hari terakhir peperiksaan Percubaan SPM. Subjek Biologi. Aku merasa begitu tidak bersemangat untuk mengulangkaji. Aku sudah penat dalam menghadapi peperiksaan yang begitu tertekan dalam seumur hidup aku. Hanya diri yang mampu memujuk diri. Sabarlah. Sabarlah wahai diri. Berkat rahmat dari-Nya menjadikan keputusan aku berada diluar jangkaan ku sendiri. Biologi adalah antara subjek yang susah untuk dijawab semasa Percubaan SPM. Alhamdulillah, Yang Maha Mengasihani memberikan aku kejayaan A1 dalam subjek ini.... bersyukur wahai diri.
Kini, aku perlu merasai semula betapa manisnya pahit itu.
Aku sudah merasai berpuluhan kali kopi yang pahit, dan merasai manisnya kopi pahit.
Bersabarlah wahai diri.
Semakin hari, semakin pendek perjalananku selama 11 tahun ke medan peperangan yang terbesar dalam hidupku. Usaha dahulu dan kini menjadi pengiring. Semangat yang tinggi menjadi sumber tenaga. Ilmu dan kebijaksanaan menjadi senjata. Bersabarlah wahai diri. Mengapa pada saat-saat genting ini, kau mudah berputus asa? Berputus asa terhadap ujian-ujian getir yang ditimpakan padamu?
Kau perlu menjaga hati, daripada runtuhnya iman dan akidah diri. Kau perlu menjaga peribadi, agar kau sentiasa menjadi muslimah soleh yang dihormati. Kau perlu menjaga hubunganmu dengan Pencipta, bonda ayahnda, adinda dan rakan tauladan, agar kau dipermudahkan menerima ilmu. Kau perlu menjaga hati guru-guru yang kian mudah dipatahkan, agar ilmu yang kau pelajari daripadanya diberkati. Kau perlu melaksanakan segala amanah yang diberikan ---tanggungjawab pengawas, latihan yang diberi oleh guru, tanggungjawab anak, agar kau mengelakkan dari sifat pecah amanah.
Mengapa kau perlu berputus asa, wahai diri? Tidakkah kau sedar bahawa semua ini adalah peluang buat mu untuk mencipta kejayaan? Adakah kau belum merasai sepenuhnya betapa manisnya pahit itu?
"Sesungguhnya Allah sentiasa bersama-sama dengan orang-orang yange bersabar."
Bersabarlah wahai diri.
2 ulasan:
conclusion yang aku boleh buat ialah:
A1 untuk BM..
walalala~ that's sweet of you~
trimas, muchas gracias!
Catat Ulasan